Tuesday, June 25, 2013

Kerasukan



Soalan :

Assalamualaikum Tuan Haji. Nama saya Tengku Azriamin berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan saya telah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak. Sejak 2 tahun yang lepas isteri saya yang bernama Nabilah selalu diserang kerasukan. Kerasukan itu membuat isteri saya tidak sedar dan kadang-kadang hilang kawalan fikiran dan emosi. Semasa kejadian itu, selalunya dia akan merasa seluruh badan sejuk dan sakit kepala yang teramat sangat. Fikiran dia bercelaru dan apabila dalam keadaan rasuk dia menjadi agresif dan bertutur dalam bahasa asing. Kadang-kadang bila dia sedar dia berada di lokasi lain dan dia tidak tahu bagaimana dia bolah sampai ke lokasi itu. Pernah satu ketika apabila dia sedar daripada kerasukan, dia telah berada di dalam kawasan perkuburan. Saya mohon penjelasan dari Tuan Haji berkenan penyakit isteri saya ini dan bolehkah ia diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

Jawapan : 

Dari aspek perubatan moden, hysteria atau kerasukan  adalah disebabkan oleh gangguan mental seseorang atau dipanggil "mental disability'' yang akhirnya membawa kepada halusinasi atau ''halusination''. Ianya pada awalnya disebabkan oleh gangguan pada emosi dan fikiran yang akhirnya menjejaskan fungsi otak secara sementara. Masalah stres dan kemuruangan (depression) juga dikatakan punca berlakunya histeria. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan diri yang melampau dan keadaan ini akan membuat pesakit akan menjerit, meracau dan ada juga yang boleh bertindak  ganas. 
Daripada perspektif perubatan islam, kerasukan dikaitkan dengan keadaan seseorang yang mengalami gangguan jin atau iblis. Menurut pengalaman pesakit yang pernah dirawat kerasukan, mereka ternampak pelbagai perkara yang menakutkan hinggalah mereka tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Ada juga yang mendakwa mereka berasa sejuk dan panas pada bahagian badan, fikiran bercelaru, hati menjadi tidak keruan yang akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri dan seterusnya dirasuk.
Jin dan iblis  boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan berbagai-bagai cara. Ini berpandukan kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Sayidah Safiyah binti Huyay, bahawa Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya Iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah.”  [Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Dari Hadis di atas jelaslah bahawa Jin dapat masuk kedalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan saluran darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia seperti arus eletrik mengalir dalam urat saraf sebagai kabel penyalurnya.  Selalunya Jin dan Iblis ini akan berdiam di dalam otak dan dicelah-celah urat saraf di tulang belakang tubuh manusia. Bila mereka berada di dalam otak manusia, mereka dapat menguasai pemikiran dan minda manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.Kerasukan adalah disebabkan kemasukan Jin di dalam tubuh manusia.
Jin dan Iblis boleh memasuki badan manusia samada di pinta sendiri oleh manusia atau tanpa di sedari oleh manusia itu sendiri. Disebabkan  kelalaian untuk  mengingati Allah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, ini akan memudahkan diri manusia itu  untuk di kuasai oleh Jin dan iblis

Jin mendampingi dan memasuki manusia melalui salah satu cara yang berikut :

  • Gangguan jin akibat perbuatan sihir. Di sini makhluk jin memasuki badan manusia bertujuan untuk menyakitkan tubuh fizikal dan mempengaruhi emosi dan mental seseorang. Ilmu-ilmu sihir banyak menggunakan jin sebagai medium perantaraan diantara pengamal-pengamal sihir dan mangsa yang kena sihir. Disini pengamal sihir akan mengarahkan jin-jin mereka untuk menganggu badan dan fikiran pesakit  bertujuan untuk menyakitkan atau membuat khianat kepada seseorang itu.
  • Gangguan jin disebabkan akibat kelemahan iman. Roh yang sakit atau  iman yang lemah adalah kerana sesaorang itu ingkar mengikut perintah Allah dan banyak melakukan dosa dan maksiat. Ini menyebabkan seseorang itu senang  di dampingi oleh makhluk-makhluk halus. Ketahanan diri terletak kepada kekuatan iman yang membentuk kekuatan roh. Kekuatan inilah yang menjadi benteng utama bagi pertahanan diri kepada gangguan jin dan iblis dalam kehidupan seharian.
  • Gangguan jin akibat amalan seseorang itu memuja jin-jin dengan sengaja atau pun tidak sengaja seperti dilakukan ketika membaca jampi, mentera dan serapah. Mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin, seperti amalan kebatinan mempertahankan diri, ilmu kebal, susuk, ilmu yang berkaitan dengan permainan teater tradisional atau berubat dengan pengamal perubatan yang pada hakikatnya berdampingan dengan jin atau iblis.
  • Gangguan jin terhadap pesakit terencat akal semenjak lahir. Anak-anak yang mengalami penyakit terencat akal kadangkala diganggu oleh makhluk halus. Ini disebabkan daya pertahanan mereka lemah kerana tidak kesempurnaan akal pemikiran mereka. Disini jin dan syaitan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai tubuh badan mereka.
  • Gangguan saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit. Saka bererti bahawa salah seorang daripada keturunan teratas pesakit seperti datuk, nenek, ibu atau bapa yang mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin atau bantuan-bantuan jin. Jin-jin ini akan berpindah kepada keterunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia. Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin-jin yang mendampingnya sebelum waris itu meninggal dunia.

Simptom-simptom kerasukan :

  • Sesak pernafasan
  • Tekanan darah akan naik tanpa sebab
  • Denyutan nadi lebih kencang dan debaran jantung yang luar biasa
  • Badan berpeluh, seluruh badan mengigil dan berasa sejuk, tangan menggeletar
  • Menjerit atau menjadi marah tanpa sebab atau sebaliknya merasa sedih dan sayu, kadang-kadang ketawa atau mengilai, perubahan “mood” yang ketara
  • Fikiran kusut, “jiwa kacau” , emosi berubah-ubah, tidak fokus
  • Sakit dibahagian tulang belakang, tengkuk dan sendi-sendi
  • Sakit kepala yang teramat sangat
  • Rasa mengantuk yang amat sangat dan menguap berulang kali
  • Kembung perut, sedawa dan muntah
  • Seluruh kaki dan tangan kejang 
  • Mengeluarkan perkataan yang luar biasa atau bertutur dalam bahasa asing (contoh yang pernah saya lihat pesakit bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi pesakit tidak pernah belajar bercakap bahasa Inggeris)
  • “Tone”suara yang berlainan  
  • Penglihatan pudar atau “tunnel vision” 
  • Tidak boleh mengawal pergerakan badan (tubuh pesakit berguling-guling tanpa kawal) 
  • Perubahan pada rupa wajah dan tubuh badan pesakit (contoh yang pernah saya melihat wanita muda bertukar raut wajah menjadi seorang tua dalam sekelip mata dan tubuh pesakit membongkok seperti nenek kebayan)

Pengalaman Merawat Kerasukan

Pada bulan April yang lalu ada sepasang suami isteri datang untuk membuat rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Suami mengadu emosi isterinya sering tidak menentu dan sikap isterinya mengamuk tidak tentu waktu. Pernah semasa keluar makan bersama di luar, sedang pasangan ini bergembira menikmati hidangan tiba-tiba isteri menampar muka suami tanpa sebab. Mereka juga mengalami kesukaran untuk bersama.
Apabila rawatan dilakukan pesakit mengamuk dan meracau dengan mengeluarkan kata-kata kotor mencarut , memburuk burukan suami, pesakit tersebut terpaksa di pegang oleh 3-4 orang ahli keluarga kerana keadaan pesakit yang agresif dan meronta-ronta . Pesakit juga menyebut beberapa nama yang didakwa melakukan sihir tersebut.
Pesakit ini juga pada mulanya membeliakkan biji matanya kemudian mengaum panjang seperti serigala mengaum, kemudian mengiau seperti bunyi kucing kemudian bercakap dalam pelbagai suara dan bahasa.
Setelah beberapa kali rawatan akhirnya dengan keizinan Allah swt pesakit itu beransur sembuh. Suami pesakit juga menceritakan apabila isteri beliau merasuk dan menyebutkan nama nama tertentu yang melakukan sihir tersebut perasaan marah timbul dan ingin berjumpa penama penama yang disebutkan isteri tetapi, atas nasihat  perawat meminta  supaya suami mohon Allah mengampunkan sesiapa yang mengkhianati isteri dan keluarganya. Akhirnya,  yang melakukan sihir itu datang kerumah pesakit memohon ampun dan maaf. Tetapi yang lebih mengejutkan yang melakukan sihir itu bukanlah penama-penama yang disebutkan isteri sewaktu merasuk.
Suami pesakit juga menceritakan pada awal rawatan beliau terpaksa bersabar dengan kerenah isterinya. Isterinya tidak mahu mengaji untuk mengamalkan surah amalan yang diberikan oleh perawat Al-Hidayah. Oleh itu, suami pesakit terpaksa membaca untuk isterinya. Masuk minggu yang kedua isterinya mula mahu mengamalkan amalan surah-surah yang diberi. Namum masalah baru pula muncul. Apabila membaca surah amalan itu, isteri beliau tiba-tiba kabur pandangan, sakit-sakit badan dan mengantuk yang melampau. Tanpa rasa putus asa suami pesakit terus membantu dan memberikan semangat kepada isteri supaya jangan cepat menyerah kalah kepada iblis. Akhirnya, atas kerjasama suami dan isteri serta keizinan Allah swt mereka berjaya menempuh dugaan tersebut.
Pernah saya berhadapan dengan seorang pesakit perempuan tua berumur tujuh puluhan. Apabila dirasuk, pesakit berbicara dalam bahasa Thai (Siam), Korea, Jawa dah Parsi purba dan kemudian bersilat ala Thai (tomoi). Iblis diberi kemampuan oleh Allah swt untuk bertutur dalam banyak bahasa dan bila pesakit dirasuk oleh Iblis, tidaklah mustahil pesakit itu boleh bertutur dalam bahasa yang diketahui oleh Iblis yang berada dalam tubuh pesakit.
Harus diingat bahawa pesakit yang dirasuk akan bercakap bermacam-macam antaranya menuduh ahli keluarga atau sehabat handai yang melakukan sihir khianat. Jangan mudah  mempercayai apa yang dikatakan oleh pesakit yang dirasuk kerana jin dan iblis akan cuba memecah belahkan hubungan silaturahim. Kita sering dengar sebuah hadis yang bermaksud “sejahat-jahat manusia, sebaik-baik jin”, jadi janganlah percaya akan percakapan yang keluar dari mulut pesakit yang dirasuk kerana itu semua datang dari tipu helah iblis.

Rawatan Kerasukan Jin

Untuk rawatan kerasukan, jin atau iblis yang ada didalam tubuh badan pesakit hendaklah dikeluarkan terlebih dahulu. Pesakit perlu datang berjumpa dengan perawat-perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mengeluarkan benda-benda halus ini. InsyAllah dengan keizinan Allah swt jin dan iblis dapat dikeluarkan. Kemudian pesakit perlu membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit kerasukan ini serta mohon doa kepada Allah swt untuk sembuh dari penyakit ini. 

Senarai Bacaan Ayat-Ayat Penawar Untuk Penyakit Gangguan Jin Dan Kerasukan 

  • Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186
  • Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159
  • Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255
  • Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118
Manusia yang selamat dari ganguaan Jin dan Iblis  adalah manusia yang selalu berada dalam Tauhid (mengesakan) Allah swt, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam.
Justru itu, peliharalah amal ibadah kita. Hanya dengan ketaqwaan kita kepada Allah swt sahaja yang dapat membenteng diri kita dari kejahatan dan tipu daya jin dan iblis. Sesungguhnya rahmat perlindungan Allah swt sentiasa bersama dengan orang-orang yang bertaqwa.
“Bertaqwalah (patuhlah) kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan” Al-Baqarah:194

Gastrik



Soalan:
ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji Lokman. Saya menghadapi masalah gastrik kronik. Perut saya sering merasa sakit, rasa loya di tekak, muntah-muntah dan berat badan menurun sebanyak 10 kg dalam masa dua bulan. Saya sudah banyak kali berulang-alik hospital untuk rawatan gastrik, tetapi belum reda. Bolehkah Haji Lokman memberi ayat-ayat Al-Quran untuk menyembuhkan atau membantu meringankan penyakit saya ini?

 Haji Iskandar, Kulai.

Jawapan:

Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut. Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut. Keradangan dinding perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus pelindung di permukaan perut.

Penyakit gastrik merupakan penyakit yang kian berleluasa. Alhamdulillah dengan izin Allah, penyakit gastrik boleh dirawat dan tidak seharusnya menyebabkan anda risau. Sebelum rawatan dimulakan, punca penyakit gastrik harus disiasat supaya kita dapat mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kehilangan lapisan mukus pelindung perut.

Punca gastrik

Gastrik selalunya disebabkan oleh mengambil ubat-ubatan yang tertentu secara berlebihan. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti ubat aspirin atau NSAID (non-steroidal anti-inflammatory). Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut boleh menyebabkan proses keradangan dinding perut. Gastrik turut boleh disebabkan oleh anaemia, refluks hempedu, penyalahgunaan dadah, meminum racun, stres ekstrem dan jangkitan virus tertentu.

Simptom gastrik

Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan kepada dinding perut dan seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan di dinding perut.
Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut, hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah.

Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah yang berwarna hitam atau muntah darah.
Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat mungkin.

Rawatan moden

Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus dilakukan terlebih dahulu.
Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan darah yang banyak atau anaemik.
Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk diagnosis yang tepat.
Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut.
Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada punca-punca sakit gastrik.
Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut.
Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.
Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.

Komplikasi

Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut berterusan.
Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut, asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.
Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di dinding perut.
Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia, pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.
Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap sangat serius.
Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tanda awal pendarahan dalaman tersebut.
Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh menyebabkan penyakit kanser perut.

Rawatan Al-quran

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit.
Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.
Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri manusia. Rasulullah saw bersabda: "…barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari).

Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada sebarang gangguan makhluk halus.
Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.

Ayat-ayat tersebut adalah:
 Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
 Surah Ghafir ayat 41 hingga 55

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.
Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; “Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.“

Penutup

Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom berbahaya.
Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan lanjut.
Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.
Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan penyakit gastrik.
Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.
Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang hina.

Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; “Mereka itu akan dibalas dengan 
tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya."

Monday, June 3, 2013

Perginya di rumah Allah



TIAP yang bernyawa pasti merasai mati. Tiap yang hidup pasti akan binasa, tiap permulaan pasti ada kesudahannya. Mati adalah lumrah kehidupan, jauh mana pun berlari, kita pasti menemui maut suatu hari nanti.

Soalnya, bagaimana kesudahan kita nanti? Adakah kita menemui ajal dengan kemalangan kereta? Sakit tua? Atau secara tiba-tiba? Begitu juga persoalan lain yang timbul, di mana penghujung hayat kita nanti?
Mungkinkah kita menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak-anak, di sisi isteri, terlantar di hospital atau di tempat kerja.
Bagaimana jika kematian semasa kita sedang melakukan ibadah dan ketika berada di tempat penuh barakah?

Ini topik yang saya akan bincangkan minggu ini. Topik yang ramai takut untuk dibincangkan sebab ramai takut kepada mati.

Tidak semua orang dipilih oleh Allah untuk meninggal dunia di tanah suci Mekah atau Madinah. Sesiapa yang dipilih mesti ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan Allah sangat sayang lantas dia ditakdir pergi menghadap Allah sewaktu di tanah suci.
Sepanjang pengalaman membawa pesakit mengerjakan ibadah umrah di Mekah, saya jarang berkesempatan menguruskan jenazah di sana.

Ada pesakit lagi 10 hari hendak berangkat ke umrah, dengan takdir Allah, pesakit meninggal dunia walaupun semua persiapan telah dibuat.
Ada pula pesakit bila tiba di tanah air, dengan takdir Allah, meninggal dunia walaupun pesakit sangat teringin meninggal dunia di sana. Ini semua qadak dan qadar, hanya Allah yang menentukan di mana kita menghembuskan nafas terakhir.

Memang menjadi impian ramai untuk meninggal di tanah suci. Kita memohon tapi Allah menentukan.
Saya baru pulang dari Mekah selepas menghabiskan masa dua minggu membawa 126 jemaah pesakit dan ahli keluarga mengerjakan ibadah umrah serta membuat rawatan di Madinah dan Mekah.
Ini adalah aktiviti tahunan Pusat Rawatan Islam Al Hidayah di mana kami dengan kerjasama syarikat pelancongan Wirasaujana memberi perkhidmatan mengerjakan umrah sambil berubat di Madinah dan Mekah.

Selalunya rawatan bermula di Madinah di mana pesakit akan dirawat oleh saya sendiri. Mereka akan diberi ayat Al Quran untuk diamalkan. Puncak rawatan ialah di Mekah dan pesakit dirawat di Dataran Kaabah dan mereka akan melakukan tawaf sunat bersama-sama saya.
Kemudian kami akan membawa pesakit ke depan Multazam untuk berdoa kepada Allah. Dari Multazam kami membawa mereka ke dalam Hijir Ismail di mana mereka melakukan solat sunat taubat dan solat sunat hajat.

Bagi pesakit berkerusi roda, petugas kami berusaha untuk memapah mereka masuk ke dalam Hijir Ismail. Selepas itu semua pesakit akan dibawa untuk melakukan solat sunat di belakang Maqam Ibrahim.
Apa yang memberi saya kepuasan dan kesyukuran kepada Allah ialah apabila saya melihat wajah pesakit selepas mereka habis melakukan ibadah, wajah kegembiraan dengan air mata kesyukuran kerana dapat berdoa di tempat mustajab di Masjidil Haram.
Bukanlah mudah untuk membawa dan mengiringi pesakit sebab keadaan di keliling Kaabah penuh sesak dengan jemaah lain. Apabila Allah menolong kita, perkara yang mustahil boleh dilakukan dengan mudah, InsyaAllah.
Kejadian yang berlaku kepada seorang pesakit jemaah wanita berumur 60 tahun berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Arwah menghidap kanser pankreas tahap 4.
Semasa rawatan di Madinah, saya catat dalam nota bahawa keadaan beliau kritikal dan ketika itu mengalami sesak nafas.

Bila tiba di Mekah, arwah bersemangat melakukan ibadah umrah. Arwah diusung dengan kerusi roda melakukan tawaf dan saie. Arwah ditemani dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selesai lakukan saie, arwah diusung pulang ke hotel kediaman.
Ketika itu arwah mengadu sesak nafas serius. Pihak Wirasaujana memanggil ambulans dan arwah dibawa ke hospital jam 2 pagi.

Esoknya jam 11.50 malam, arwah menghembuskan nafas terakhir disaksikan anak perempuannya. Saya dengan anak lelakinya dan petugas Wirasaujana bergegas ke hospital. Tiada apa yang boleh dilakukan.
Esoknya kami ke pejabat muassasah untuk mengambil pasport arwah dan Kedutaan Malaysia di Jeddah untuk melaporkan kematian. Setelah mendapat semua dokumen, kami pulang ke pejabat muassasah di Mekah bagi mengambil jenazah dari hospital. Di Mekah telah disediakan sebuah tempat khas untuk pengurusan jenazah.
Saya, anak lelaki arwah dan petugas Wirasaujana menunggu hampir dua jam untuk jenazah dikapankan. Sementara menanti, saya sempat bertanya anak lelaki arwah, apa istimewanya arwah sehingga Allah memilih beliau meninggal dunia di Mekah.
Dengan linangan air mata, anak lelakinya memberitahu arwah ibunya sangat murah hati dan suka menolong orang.
Arwah anak sulung, mempunyai ramai adik-beradik dan berkorban untuk membesarkan mereka.
Arwah sanggup memberi didikan kepada adik-adiknya walaupun arwah tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

Arwah banyak bersedekah dari segi wang ringgit, tenaga dan bantuan apa saja yang dia boleh berikan. Itu keistimewaannya, kata anak lelakinya dalam tangisan.
Setengah jam sebelum asar, jenazah telah dikapan dan kami menaiki van jenazah untuk solat jenazah di Masjidil Haram.
Tiba di perkarangan masjid, empat petugas Pusat Rawatan Islam Al Hidayah sedia menanti membantu mengusung jenazah ke masjid.
Memang tradisi Arab berebut-rebut membantu mengusung jenazah. Saya terpegun melihat kesungguhan bangsa Arab dan jemaah umrah lain berebut berganti-ganti mengusung mayat.
Tidak lebih tiga minit jenazah telah diusung dari van jenazah ke tempat meletak jenazah di dalam Masjidil Haram, walaupun ketika itu jemaah di sekitar luar masjid penuh sesak dengan jemaah bersiap sedia untuk solat asar.

Jenazah diletakkan di dalam masjid bertentangan dengan sudut Hajar Aswad. Dalam masa beberapa minit ada 10 jenazah diusung masuk untuk disolatkan. Selepas solat asar, imam masuk ke tempat jenazah dan mengimamkan solat jenazah.
Alangkah beruntung mereka yang meninggal dunia dan jenazah disolatkan di sana. Beratus ribu jemaah di masjid turut mengaminkan solat jenazah.
Sabda Rasulullah s.a.w: Dari Abdullah bin Abbas, katanya; aku ada mendengar Rasulullah s.a.w, bersabda “mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya".
(Riwayat Muslim)

Selesai saja solat jenazah, mayat diusung keluar masjid, puluhan jemaah berebut-rebut mengusung jenazah masuk ke van. Kedengaran jemaah memberi arahan Tariq! Tariq! (bermakna beri laluan!).
Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Seraya berdekatan Arafah. Saya dan anak-anak arwah serta petugas Al Hidayah dan Wirasaujana mengiring jenazah.
Sampai di sana, petugas di situ menunggu kami. Lubang kubur telah siap digali dan jenazah terus diusung oleh petugas Al Hidayah dan anak-anak arwah.
Pengkebumian dilakukan begitu cepat dan efisien, dalam masa 10 minit jenazah selamat dikebumikan. Tiada talkin, doa atau tahlil dilakukan, tiada taburan bunga atau merenjis air dilakukan. Batu nisan hanya sebiji batu empat segi tanpa nama si mati.

Islam agama mudah, kita tidak perlu merumitkan sesuatu hingga merosakkan keindahan Islam.
Bukan tidak boleh menguruskan jenazah sepertimana diuruskan ditempat kita, namun kita harus ingat perbezaan antara syariat dan adat.
Jangan sampai adat mendahului syariat. Apa yang dituntut oleh Islam adalah menyegerakan pengkebumian jenazah. Seperti sabda Rasulullah s.a.w:
“Dari Abu Hurairah (r.a) berkata: 'Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Mempercepatkanlah kamu dengan urusan jenazah, maka sesungguhnya jika ada si mati adalah orang yang baik-baik maka mendekatkan kamu pada tempat yang lebih baik; dan jika ada si mati itu adalah orang yang tidak baik, maka meletakkan kamu pada keburukannya dari bahu kamu (yakni, dari ditanggung oleh kamu)."[Hadith Muslim]

Kesimpulannya, pengalaman mengendalikan kematian di bumi Mekah adalah pengalaman pertama saya setelah puluhan tahun di dalam bidang perubatan Islam.
Ini suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli dan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Pasti pengalaman ini menjadi guru berguna kepada saya dan disajikan kepada pembaca sebagai penghayatan bersama.