Showing posts with label gangguan. Show all posts
Showing posts with label gangguan. Show all posts

Tuesday, June 25, 2013

Kerasukan



Soalan :

Assalamualaikum Tuan Haji. Nama saya Tengku Azriamin berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan saya telah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak. Sejak 2 tahun yang lepas isteri saya yang bernama Nabilah selalu diserang kerasukan. Kerasukan itu membuat isteri saya tidak sedar dan kadang-kadang hilang kawalan fikiran dan emosi. Semasa kejadian itu, selalunya dia akan merasa seluruh badan sejuk dan sakit kepala yang teramat sangat. Fikiran dia bercelaru dan apabila dalam keadaan rasuk dia menjadi agresif dan bertutur dalam bahasa asing. Kadang-kadang bila dia sedar dia berada di lokasi lain dan dia tidak tahu bagaimana dia bolah sampai ke lokasi itu. Pernah satu ketika apabila dia sedar daripada kerasukan, dia telah berada di dalam kawasan perkuburan. Saya mohon penjelasan dari Tuan Haji berkenan penyakit isteri saya ini dan bolehkah ia diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

Jawapan : 

Dari aspek perubatan moden, hysteria atau kerasukan  adalah disebabkan oleh gangguan mental seseorang atau dipanggil "mental disability'' yang akhirnya membawa kepada halusinasi atau ''halusination''. Ianya pada awalnya disebabkan oleh gangguan pada emosi dan fikiran yang akhirnya menjejaskan fungsi otak secara sementara. Masalah stres dan kemuruangan (depression) juga dikatakan punca berlakunya histeria. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan diri yang melampau dan keadaan ini akan membuat pesakit akan menjerit, meracau dan ada juga yang boleh bertindak  ganas. 
Daripada perspektif perubatan islam, kerasukan dikaitkan dengan keadaan seseorang yang mengalami gangguan jin atau iblis. Menurut pengalaman pesakit yang pernah dirawat kerasukan, mereka ternampak pelbagai perkara yang menakutkan hinggalah mereka tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Ada juga yang mendakwa mereka berasa sejuk dan panas pada bahagian badan, fikiran bercelaru, hati menjadi tidak keruan yang akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri dan seterusnya dirasuk.
Jin dan iblis  boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan berbagai-bagai cara. Ini berpandukan kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Sayidah Safiyah binti Huyay, bahawa Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya Iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah.”  [Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Dari Hadis di atas jelaslah bahawa Jin dapat masuk kedalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan saluran darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia seperti arus eletrik mengalir dalam urat saraf sebagai kabel penyalurnya.  Selalunya Jin dan Iblis ini akan berdiam di dalam otak dan dicelah-celah urat saraf di tulang belakang tubuh manusia. Bila mereka berada di dalam otak manusia, mereka dapat menguasai pemikiran dan minda manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.Kerasukan adalah disebabkan kemasukan Jin di dalam tubuh manusia.
Jin dan Iblis boleh memasuki badan manusia samada di pinta sendiri oleh manusia atau tanpa di sedari oleh manusia itu sendiri. Disebabkan  kelalaian untuk  mengingati Allah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, ini akan memudahkan diri manusia itu  untuk di kuasai oleh Jin dan iblis

Jin mendampingi dan memasuki manusia melalui salah satu cara yang berikut :

  • Gangguan jin akibat perbuatan sihir. Di sini makhluk jin memasuki badan manusia bertujuan untuk menyakitkan tubuh fizikal dan mempengaruhi emosi dan mental seseorang. Ilmu-ilmu sihir banyak menggunakan jin sebagai medium perantaraan diantara pengamal-pengamal sihir dan mangsa yang kena sihir. Disini pengamal sihir akan mengarahkan jin-jin mereka untuk menganggu badan dan fikiran pesakit  bertujuan untuk menyakitkan atau membuat khianat kepada seseorang itu.
  • Gangguan jin disebabkan akibat kelemahan iman. Roh yang sakit atau  iman yang lemah adalah kerana sesaorang itu ingkar mengikut perintah Allah dan banyak melakukan dosa dan maksiat. Ini menyebabkan seseorang itu senang  di dampingi oleh makhluk-makhluk halus. Ketahanan diri terletak kepada kekuatan iman yang membentuk kekuatan roh. Kekuatan inilah yang menjadi benteng utama bagi pertahanan diri kepada gangguan jin dan iblis dalam kehidupan seharian.
  • Gangguan jin akibat amalan seseorang itu memuja jin-jin dengan sengaja atau pun tidak sengaja seperti dilakukan ketika membaca jampi, mentera dan serapah. Mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin, seperti amalan kebatinan mempertahankan diri, ilmu kebal, susuk, ilmu yang berkaitan dengan permainan teater tradisional atau berubat dengan pengamal perubatan yang pada hakikatnya berdampingan dengan jin atau iblis.
  • Gangguan jin terhadap pesakit terencat akal semenjak lahir. Anak-anak yang mengalami penyakit terencat akal kadangkala diganggu oleh makhluk halus. Ini disebabkan daya pertahanan mereka lemah kerana tidak kesempurnaan akal pemikiran mereka. Disini jin dan syaitan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai tubuh badan mereka.
  • Gangguan saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit. Saka bererti bahawa salah seorang daripada keturunan teratas pesakit seperti datuk, nenek, ibu atau bapa yang mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin atau bantuan-bantuan jin. Jin-jin ini akan berpindah kepada keterunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia. Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin-jin yang mendampingnya sebelum waris itu meninggal dunia.

Simptom-simptom kerasukan :

  • Sesak pernafasan
  • Tekanan darah akan naik tanpa sebab
  • Denyutan nadi lebih kencang dan debaran jantung yang luar biasa
  • Badan berpeluh, seluruh badan mengigil dan berasa sejuk, tangan menggeletar
  • Menjerit atau menjadi marah tanpa sebab atau sebaliknya merasa sedih dan sayu, kadang-kadang ketawa atau mengilai, perubahan “mood” yang ketara
  • Fikiran kusut, “jiwa kacau” , emosi berubah-ubah, tidak fokus
  • Sakit dibahagian tulang belakang, tengkuk dan sendi-sendi
  • Sakit kepala yang teramat sangat
  • Rasa mengantuk yang amat sangat dan menguap berulang kali
  • Kembung perut, sedawa dan muntah
  • Seluruh kaki dan tangan kejang 
  • Mengeluarkan perkataan yang luar biasa atau bertutur dalam bahasa asing (contoh yang pernah saya lihat pesakit bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi pesakit tidak pernah belajar bercakap bahasa Inggeris)
  • “Tone”suara yang berlainan  
  • Penglihatan pudar atau “tunnel vision” 
  • Tidak boleh mengawal pergerakan badan (tubuh pesakit berguling-guling tanpa kawal) 
  • Perubahan pada rupa wajah dan tubuh badan pesakit (contoh yang pernah saya melihat wanita muda bertukar raut wajah menjadi seorang tua dalam sekelip mata dan tubuh pesakit membongkok seperti nenek kebayan)

Pengalaman Merawat Kerasukan

Pada bulan April yang lalu ada sepasang suami isteri datang untuk membuat rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Suami mengadu emosi isterinya sering tidak menentu dan sikap isterinya mengamuk tidak tentu waktu. Pernah semasa keluar makan bersama di luar, sedang pasangan ini bergembira menikmati hidangan tiba-tiba isteri menampar muka suami tanpa sebab. Mereka juga mengalami kesukaran untuk bersama.
Apabila rawatan dilakukan pesakit mengamuk dan meracau dengan mengeluarkan kata-kata kotor mencarut , memburuk burukan suami, pesakit tersebut terpaksa di pegang oleh 3-4 orang ahli keluarga kerana keadaan pesakit yang agresif dan meronta-ronta . Pesakit juga menyebut beberapa nama yang didakwa melakukan sihir tersebut.
Pesakit ini juga pada mulanya membeliakkan biji matanya kemudian mengaum panjang seperti serigala mengaum, kemudian mengiau seperti bunyi kucing kemudian bercakap dalam pelbagai suara dan bahasa.
Setelah beberapa kali rawatan akhirnya dengan keizinan Allah swt pesakit itu beransur sembuh. Suami pesakit juga menceritakan apabila isteri beliau merasuk dan menyebutkan nama nama tertentu yang melakukan sihir tersebut perasaan marah timbul dan ingin berjumpa penama penama yang disebutkan isteri tetapi, atas nasihat  perawat meminta  supaya suami mohon Allah mengampunkan sesiapa yang mengkhianati isteri dan keluarganya. Akhirnya,  yang melakukan sihir itu datang kerumah pesakit memohon ampun dan maaf. Tetapi yang lebih mengejutkan yang melakukan sihir itu bukanlah penama-penama yang disebutkan isteri sewaktu merasuk.
Suami pesakit juga menceritakan pada awal rawatan beliau terpaksa bersabar dengan kerenah isterinya. Isterinya tidak mahu mengaji untuk mengamalkan surah amalan yang diberikan oleh perawat Al-Hidayah. Oleh itu, suami pesakit terpaksa membaca untuk isterinya. Masuk minggu yang kedua isterinya mula mahu mengamalkan amalan surah-surah yang diberi. Namum masalah baru pula muncul. Apabila membaca surah amalan itu, isteri beliau tiba-tiba kabur pandangan, sakit-sakit badan dan mengantuk yang melampau. Tanpa rasa putus asa suami pesakit terus membantu dan memberikan semangat kepada isteri supaya jangan cepat menyerah kalah kepada iblis. Akhirnya, atas kerjasama suami dan isteri serta keizinan Allah swt mereka berjaya menempuh dugaan tersebut.
Pernah saya berhadapan dengan seorang pesakit perempuan tua berumur tujuh puluhan. Apabila dirasuk, pesakit berbicara dalam bahasa Thai (Siam), Korea, Jawa dah Parsi purba dan kemudian bersilat ala Thai (tomoi). Iblis diberi kemampuan oleh Allah swt untuk bertutur dalam banyak bahasa dan bila pesakit dirasuk oleh Iblis, tidaklah mustahil pesakit itu boleh bertutur dalam bahasa yang diketahui oleh Iblis yang berada dalam tubuh pesakit.
Harus diingat bahawa pesakit yang dirasuk akan bercakap bermacam-macam antaranya menuduh ahli keluarga atau sehabat handai yang melakukan sihir khianat. Jangan mudah  mempercayai apa yang dikatakan oleh pesakit yang dirasuk kerana jin dan iblis akan cuba memecah belahkan hubungan silaturahim. Kita sering dengar sebuah hadis yang bermaksud “sejahat-jahat manusia, sebaik-baik jin”, jadi janganlah percaya akan percakapan yang keluar dari mulut pesakit yang dirasuk kerana itu semua datang dari tipu helah iblis.

Rawatan Kerasukan Jin

Untuk rawatan kerasukan, jin atau iblis yang ada didalam tubuh badan pesakit hendaklah dikeluarkan terlebih dahulu. Pesakit perlu datang berjumpa dengan perawat-perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mengeluarkan benda-benda halus ini. InsyAllah dengan keizinan Allah swt jin dan iblis dapat dikeluarkan. Kemudian pesakit perlu membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit kerasukan ini serta mohon doa kepada Allah swt untuk sembuh dari penyakit ini. 

Senarai Bacaan Ayat-Ayat Penawar Untuk Penyakit Gangguan Jin Dan Kerasukan 

  • Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186
  • Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159
  • Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255
  • Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118
Manusia yang selamat dari ganguaan Jin dan Iblis  adalah manusia yang selalu berada dalam Tauhid (mengesakan) Allah swt, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam.
Justru itu, peliharalah amal ibadah kita. Hanya dengan ketaqwaan kita kepada Allah swt sahaja yang dapat membenteng diri kita dari kejahatan dan tipu daya jin dan iblis. Sesungguhnya rahmat perlindungan Allah swt sentiasa bersama dengan orang-orang yang bertaqwa.
“Bertaqwalah (patuhlah) kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan” Al-Baqarah:194

Wednesday, April 17, 2013

Susuk Amalan Syaitan

 http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130414/kn_04/Susuk-amalan-syaitan

ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman. Saya ingin bertanya tentang susuk. Semasa muda, saya pernah memakai susuk emas di muka untuk mempertingkat keterampilan.
Ketika itu, saya tidak tahu apa itu susuk dan tidak tahu susuk salah di sisi Islam. Adakah Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh buangkan susuk emas saya? Terima kasih.
* Puan Nora, Ampang, Selangor.

Jawapan

WAALAIKUMSALAM puan. Terima kasih atas soalan. Di zaman ini, budaya susuk hangat diperkatakan semula. Kalau tidak silap, beberapa tahun lalu heboh fenomena pemakaian susuk di kalangan wanita dan lelaki yang percaya susuk membantu menjadi cantik, berani, dikasihi.
Menurut pengamal ilmu susuk, pemakaian susuk sangat berkesan dan bagi mereka, ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengamal susuk turut mendakwa ada ilmu susuk menggunakan ayat suci Al-Quran dan sebab itu pemakaian susuk sangat mujarab di kalangan pelanggan mereka.
Ada kalangan pengamal susuk mendakwa ilmu mereka tidak melibatkan ilmu kebatinan atau ghaib bahkan boleh dijelaskan dari aspek saintifik.

Itu kata mereka yang daif tentang ajaran Islam atau sengaja mengaburi mata masyarakat Melayu yang tidak tahu pemakaian susuk haram supaya pengamal ilmu susuk mendapat ramai pelanggan baru. Wallahu alam.
Bagi mereka yang belum tahu, susuk adalah perbuatan memasukkan bahan asing seperti emas, perak, berlian, besi, jarum ke dalam badan untuk memperoleh kelebihan tertentu, biasanya untuk menambah seri wajah bagi sentiasa nampak cantik, muda, menawan hati pasangan atau sesiapa sahaja.
Bagaimanapun, pemakaian susuk melibatkan pantang-larang yang harus diikuti pemakai. Pantang-larang tersebut seperti tidak boleh memakan beberapa jenis makanan seperti pisang tanduk, pisang abu, labu air, daun kelor atau tidak boleh melintas bawah ampaian kain atau lalu bawah tangga.
Ini bergantung kepada jenis susuk. Jika pantang-larang dilanggar, ia menyebabkan susuk hilang kuasa dan yang paling dirisaukan, susuk boleh menjadi racun kepada si pemakai dan memakan diri.

Pengamal ilmu susuk akan memasang susuk di beberapa anggota badan pemakai.
Ada memasang susuk di anggota badan selain muka dan malah ada yang dipasang pada alat sulit! Untuk pengetahuan, sebenarnya tiada barang fizikal dimasukkan ke dalam tubuh badan pemakai.
Apabila pemakai melihat pengamal susuk memasukkan sesuatu ke dalam badan mereka, itu adalah sihir ilmu khayalan bagi meyakinkan pemakai bahawa logam berharga dimasukkan ke dalam badan mereka.
Sihir ilmu khayalan adalah perbuatan syaitan dan iblis yang ingin menyesatkan manusia, agar pengamal ilmu susuk kelihatan hebat dan mempunyai kuasa istimewa.

Kaedah pemakaian susuk biasanya ada kaitan dengan amalan sihir melibatkan syaitan dan iblis. Apabila membabitkan sihir, pasti ada penyelewengan yang boleh merosakkan akidah seseorang Muslim.
Walaupun didakwa mempunyai unsur Islam dan penggunaan ayat Al-Quran, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menyatakan bahawa penggunaan susuk tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Demikianlah kecelaruan yang wujud dalam amalan kebatinan Melayu.
Allah memerintahkan setiap makhluk-Nya memohon pertolongan dan perlindungan hanya kepada-Nya dan tidak memohon kepada makhluk lain.
Seperti firman Allah di dalam Surah Al-Fatihah ayat 4; “Hanya kepada Engkau tempat kami menyembah dan memohon pertolongan"
Kita sebagai hamba Allah harus sentiasa ingat bahawa syaitan tidak melakukan sesuatu, selain menyesatkan manusia supaya jauh daripada batasan Islam dan akhirnya menemani syaitan di neraka jahanam yang kekal selamanya akan seksaannya.

Amalan susuk adalah rahsia ilmu ghaib yang tidak didedahkan kepada umum untuk difahami. Amalan ilmu susuk ‘tidak masuk akal’ dan tidak dapat diterima akal fikiran yang waras seperti memasukkan berlian, serbuk emas, jarum emas dan sebagainya.
Anggota badan yang sering dipasang susuk adalah kening, bawah dagu dan di muka seseorang sehingga menyebabkan wajah kelihatan cantik, manis, tidak awet muda dan tergoda siapa yang melihatnya.
Bagi lelaki pula susuk membuat pemakai menjadi kebal dan tenaga batin menjadi kuat.
Apa yang jelas amalan susuk termasuk dalam kategori sihir, iaitu iblis. syaitan, atau jin dan amalan tersebut boleh menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah.
Ketahuilah dosa syirik amat besar sehingga tidak mendapat keampunan Allah meskipun dengan bertaubat.Allah memberi amaran, di dalam al-Quran bahawa syaitan adalah musuh nyata orang beriman.
Oleh demikian dalam keadaan apa pun makhluk ini hendaklah dianggap sebagai musuh, tidak kira sama ada jin dan iblis boleh menyebabkan seorang kelihatan cantik, berseri, disukai ramai, dipandang manis digeruni, kebal untuk.

Ingatlah akan amaran Allah di dalam surah an-Nisa’ ayat 48; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."
Kita patut berikhtiar dan berusaha untuk mendapatkan kebaikan. Selebihnya bertawakal dan berserah kepada Allah.

Apabila kita perlukan pertolongan di dalam kesulitan dan inginkan sesuatu, seharusnya kita hanya memohon doa kepada-Nya.
Yakinlah janji Allah di dalam surah Al-Zalzalah ayat 7 & 8: “Barang siapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, maka ia akan diperlihatkan balasannya. Barang siapa mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, maka ia akan diperlihatkan balasannya juga"
Rawatan susuk guna
ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pemakai susuk akan diperiksa dan perawat akan mengeluarkan susuk tersebut. Apa yang dikeluarkan bukan logam berharga seperti yang didakwa pengamal ilmu susuk. Sebaliknya, apa yang dikeluarkan adalah ‘sihir khayalan’ yang diistilahkan sebagai susuk

Berdasarkan pengalaman saya, apa yang dikeluarkan dari tubuh pemakai susuk, adalah jin dan iblis! Semua itu hanyalah ‘permainan mata’ atau ilusi untuk mengaburi mata demi menunjukkan seolah-olah ilmu mereka hebat. Setelah selesai membuang jin atau iblis dari badan pesakit, mereka akan diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan dan pengampunan. Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186
Surah al-Mukminun ayat 105 hingga 118
Surah Al-Baqarah ayat 244 hingga 255
Surah Al-Fussilat ayat 25 hingga 44

Kaedah mengamalkan ayat Al-Quran tersebut ialah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186, tiga kali pada malam dan surah kedua iaitu surah al-Mukminun ayat 105 hingga 118, tiga kali pada siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan dan ‘membersihkan’ mereka daripada sihir susuk atau jin dan iblis yang mendamping diri mereka semasa mereka memakai ilmu susuk.
Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah berikutnya yang akan diberi oleh perawat dari semasa ke semasa.
Boleh dianggap susuk sebagai satu cara meningkatkan keyakinan diri (self esteem) seseorang, walaupun sebenarnya tidak ada perubahan fizikal berlaku pada diri pemakai.
Sebagai kesimpulan, ingatlah akan sebuah pepatah, “mencegah lebih baik dari mengubati". Sebaik mungkin, hindari daripada perbuatan susuk.

Janganlah menyangka susuk hanyalah sekadar ‘alat kosmetik’ biasa untuk menambah seri kepada pemakai. S usuk adalah perbuatan syirik melibatkan jin dan syaitan.
Ingatlah, kecantikan abadi adalah kecantikan hati. Kecantikan fizikal bersifat sementara.

Sunday, March 24, 2013

Saka Keturunan

http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130324/ba_01/Saka-keturunan