Saturday, May 11, 2013

Kemurungan

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130505/kn_03/Kemurungan

Soalan:
ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman. Anak saya mengalami kemurungan teruk sejak tiga bulan lepas, dia tidak mahu solat, tidak keluar rumah dan selalu marah. Dia tidak mahu jumpa doktor atau ustaz yang kami bawa untuk berubat. Bolehkah tuan haji membantu anak saya? Terima kasih. - Encik Syahid, Johor Bahru

Jawapan:

Kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah sering bertemu pesakit kemurungan klinikal atau ‘clinical depression. Ada pesakit murung bertahun lamanya dan ada yang baru mendapat tahu perasaan sedih dialami bukan perasaan sedih biasa.

Terdapat pelbagai punca kemurungan, antaranya faktor luaran yang sangat besar seperti kematian suami atau ahli keluarga tersayang sehingga perkara yang mungkin remeh pada orang lain seperti gagal mendapat semua A dalam peperiksaan.

Saya pernah berjumpa pesakit murung selepas melahirkan anak sehingga si ibu tidak mahu melihat bayinya kerana merasa tidak mampu menjadi ibu terbaik.
Kita harus tahu membezakan kemurungan klinikal dengan perasaan sedih biasa. Perasaan sedih berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan klinikal tetapi bersedih atau murung disebabkan sesuatu tidak semestinya kemurungan klinikal.

Perasaan sedih adalah normal bagi semua orang. Cuma, kita harus mengawal perasaan tersebut daripada mengawal dan menjejaskan pemikiran serta kehidupan kita.
Anggaplah perkara yang menyedihkan merupakan ujian Allah, seperti firman-Nya di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3; “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Kemurungan tidak mengenal usia, jantina, bangsa, agama dan status sosioekonomi dan boleh menyerang sesiapa sahaja.
Menurut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006, daripada 14,000 peserta yang mengalami masalah kesihatan mental, didapati 20 peratus adalah kanak-kanak dan hanya 11 peratus dewasa.
Anggaran kasar Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati daripada 10 orang penduduk Malaysia, seorang mempunyai penyakit mental. Majoriti pesakit mental di Malaysia terdiri daripada kemurungan klinikal.

Dari segi pecahan jantina, penyakit kemurungan adalah ketiga tertinggi di kalangan wanita manakala bagi lelaki, kemurungan adalah kesepuluh tertinggi daripada semua jenis penyakit.
Penyakit kemurungan klinikal kerap berlaku di seluruh dunia dan menurut World Health Organization (WHO), jumlah pesakit kemurungan klinikal akan bertambah dari tahun ke tahun, tidak kira sama ada negara maju dan membangun seperti Malaysia.
WHO mendakwa penyakit mental lebih banyak menimpa manusia berbanding hipertensi dan kencing manis! Kemurungan juga punca utama kes bunuh diri seluruh dunia. Apa yang merisaukan WHO, jumlah kematian akibat bunuh diri jauh lebih tinggi daripada jumlah kematian akibat batuk kering (Tuberculosis) di rantau Asia Pasifik.

Punca kemurungan
Antara punca kemurungan:

1Masalah keluarga kronik menyebabkan ahli keluarga tertekan, tersisih dan kurang mendapat kasih sayang secukupnya.

2Masalah rumah tangga contohnya suami curang terhadap isteri atau penceraian.

3Faktor genetik atau keturunan di mana ada ahli keluarga mengalami masalah kesihatan mental.

4Kehilangan sesuatu atau seseorang yang sangat rapat dan disayangi hingga pesakit sentiasa teringat atau terbayang. Selalunya kehilangan terjadi tanpa disangka.

5Perubahan keadaan sekeliling yang drastik dan sangat berbeza dengan cara hidup dahulu, terutama perubahan berlaku tanpa sokongan ahli keluarga atau rakan rapat.

6Perasaan rendah diri keterlaluan hingga mereka tidak yakin untuk melakukan sesuatu.

7Masalah yang terlalu berat untuk dipikul dan diselesaikan boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke masalah kemurungan seperti bankrup atau muflis.

Aspek biologi

Kajian mendapati ada beza pada otak mereka yang disahkan mengalami kemurungan klinikal dengan mereka yang tidak. Perbezaan utama adalah saiz hippocampus, iaitu satu bahagian kecil otak manusia yang sangat penting untuk menyimpan memori.
Saiz hippocampus pada pesakit didapati lebih kecil berbanding mereka yang tidak pernah murung. 'Hippocampus' kecil bermakna kurang reseptor hormon serotonin - hormon yang diperlukan sebagai 'ubat penenang' semulajadi. K

Tanda kemurungan

Selalunya, tanda kemurungan disedari apabila masalahnya sudah lama dan menjejaskan kehidupan. Hampir semua pesakit mengalami masalah mood rendah hampir setiap masa.
Pesakit hilang minat atau tidak seronok melakukan hobi atau perkara digemari. Mereka lebih suka menyendiri tanpa melakukan apa-apa dan tidur sepanjang hari.
Ahli keluarga mendapati pesakit tidak mahu menguruskan diri, selalu cemas tanpa sebab (anxiety), tidak selesa di khalayak ramai, mudah marah, rasa bersalah tidak bertempat, gelisah dan tidak berupaya mengubah keadaan diri. Mereka mengalami penurunan (atau penambahan) berat badan, selalu sakit, selera makan meningkat (atau menurun) dan sentiasa penat.
Jika tidak mendapat bantuan, dikhuatiri pesakit mula mempunyai perasaan mencederakan diri atau lebih serius, mempunyai rancangan membunuh diri.

Rawatan moden

Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), rawatan sewajarnya membantu hampir 85 peratus pesakit kemurungan klinikal.
Setelah pesakit disahkan kemurungan klinikal, mereka diberi rawatan seperti kaunseling, terapi atau pengambilan ubat anti-kemurungan berterusan.
Selalunya pesakit bergantung kepada ubat anti-kemurungan sepanjang hayat. Malah, ramai pesakit memerlukan gabungan rawatan kaunseling, terapi dan ubat anti-kemurungan untuk hidup normal.
Rawatan tidak berkesan jika ahli keluarga dan sahabat tidak memberi sokongan. Ahli keluarga dan sahabat harus memantau keadaan pesakit bagi menunjukkan pesakit disayangi dan diperlukan.
Di dalam Al-Quran ada suruhan Allah untuk menyayangi insan lain. Firman Allah dalam surah Al-Qashash ayat 77; “Dan sayangilah manusia sebagaimana Allah sayang kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat bencana."
Rawat guna Al-Quran

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit kemurungan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat suci Al-Quran.
Firman Allah dalam surah Al-A’raaf ayat 204; “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat."
Pesakit yang mengamalkan pembacaan ayat Al-Quran secara konsisten setiap hari mendapati pemikiran dan perasan mereka lebih positif dan tenang. Dengan izin Allah ramai pesakit telah dikurangkan dos ubat dan ada yang tidak perlu mengambil ubat.

Selain itu, ada kemurungan disebabkan gangguan makhluk halus sama ada saka atau melalui sihir. Gangguan ini seringkali mempengaruhi pemikiran dan perasaan pesakit hingga mereka sangat tertekan, sedih dan merasakan diri tidak berguna dan menyusahkan orang lain.
Apabila pesakit terpengaruh dengan gangguan makhluk halus, berlaku kemurungan teruk dan perubahan personaliti. Setiap pesakit yang datang, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada gangguan makhluk halus.
Perawat akan mengeluarkan gangguan jika ada dan memberikan ayat untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

Surah Muhammad ayat 21 hingga 32
Surah Thahaa ayat 120 hingga 135
Surah Az Zumaar ayat 59 hingga 75
Surah An Nahli ayat 81 hingga 89

Kaedahnya, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan dengan surah seterusnya.
Pesakit harus ingat bahawa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.

Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
Kesimpulannya, jika rakan atau ahli keluarga menghadapi kemurungan, jangan pandang remeh. Jangan buat persepsi negatif.

Mereka yang merasa dirinya mungkin mengalami kemurungan, carilah bantuan dan ingat akan firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 139: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman"