Monday, July 8, 2013

Kesan sakit belakang

http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130630/ba_01/Kesan-sakit-belakang

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya sudah 6 tahun mengalami penyakit slipped disc. Kesan sakit ini membuat saya sukar untuk berdiri dan duduk lama. Disebabkan ini saya kerap mengambil cuti sakit sakit sehingga menggangu prestasi kerja saya. Saya juga terpaksa solat duduk di atas kerusi. Saya telah menjalani fisioterapi dan setakat ini sakitnya telah berkurangan namun saya tidak boleh melakukan kerja lasak dan berat. Pihak hospital mencadangkan saya untuk melakukan pembedahan namun saya tidak berani mengambil risiko yang tinggi memandangkan usia saya dan juga penyakit kencing manis yang saya alami sekarang. Bolehkah saya mohon jasa baik tuan untuk mendapatkan rawatan untuk penyakit Slipped Disc dengan menggunakan rawatan AlQuran? Terima kasih.
n Mohd Shukri Kuantan

Jawapan:
Tulang belakang manusia terdiri daripada 24 tulang individu yang dipanggil vertebra yang disusun di atas satu sama lain. Di antara setiap tulang belakang terdapat perlindungan, pad bulat rawan (tisu perantara) yang dipanggil cakera. Cakera ini mempunyai gentian lembut, bahan seperti gel di dalamnya yang membantu untuk mengurangkan geseran di antara vertebra apabila berlaku pergerakan. Di dalam cakera ini terdapat saraf tunjang yang sangat sensitif dan ia melalui tengah-tengah ruang vertebra. Ia mengandungi sel-sel saraf yang menghubungkan otak ke semua bahagian anggota badan.
Slipped disc berlaku apabila bulatan tisu penghubung di sekitar cakera rosak. Ini menyebabkan bahagian lembut, seperti gel bahagian cakera membengkak dan menonjol keluar. Tidak jelas apa yang menyebabkan tisu penghubung untuk pecah. Walau bagaimanapun, penyusutan cakera sering berlaku hasil daripada peningkatan usia.
Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat pesakit tulang belakang, terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan makhluk halus atau serangan jin yang menyebabkan masalah sekatan pada sistem saraf sehingga berlakunya kebas-kebas tangan dan kaki, sakit belakang hingga ke kaki. Jadi, pesakit perlu dahulu berjumpa dengan perawat-perawat kami untuk mengenal pasti samaada penyakit yang dialami disebabkan oleh gangguan atau masalah fizikal.
Tanda-tanda awal
slipped disk
Tanda-tanda awal adalah seperti berikut:
l Sakit di belakang, leher, atau bahagian bawah badan.
l Kadang-kadang, seseorang yang mengalami slipped disc berasa kebas di bahagian-bahagian badan yang atas dan di bawah kawasan yang terjejas (secara umum, di kawasan yang dikawal oleh saraf tertentu). Secara beransur-ansur ini boleh membawa kepada keadaan lumpuh.
l Dalam beberapa kes, bahagian bawah badan berasa lemah, dan ia menjadi sukar untuk pesakit berdiri.
l Penderitaan individu juga mungkin mengalami perasaan kurang selesa, gatal di kawasan kemaluan.
l Individu juga mungkin mengalami sakit semasa bersin, batuk, berjalan, dan lainlain.
Gejala yang perlu diberi perhatian dengan segera:
l Kelemahan sensasi atau berasa kebas di satu atau kedua-dua anggota badan yang lebih rendah.
l Kehilangan ketangkasan dalam satu atau kedua-dua kaki.
l Sakit belakang yang teruk dengan kesan darah dalam air kencing.
l Sakit berdenyut pada bahagian dalam paha;
l Sakit belakang yang bertambah teruk walaupun dalam keadaan berehat berbanding apabila anda bergerak.
l Kelemahan berpanjangan dengan sensasi cucukan walaupun dalam keadaan berehat.
l Lemah tenaga batin atau sukar untuk bersama.
l Kesan yang berterusan boleh membawa kepada pesakit manjadi lumpuh (paralyse).
Kehadiran tanda-tanda yang disenaraikan di atas tidak semestinya bermakna anda mempunyai masalah slipped disc, walau bagaimanpun gejala-gejala ini perlu diberi perhatian serius dan berjumpalah doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Adalah lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat al-Quran yang boleh merawat gangguan tersebut. Ini kerana terdapat banyak kes-kes di mana pesakit yang telah pergi ke hospital dan menjalani beberapa ujian termasuklah ujian darah yang menunjukkan keadaan komponen darah pada paras normal, tekanan darah yang normal dan tiada sekatan dalam saluran darah. Pemeriksaan MRI, CT Scan dan X-Ray pula menunjukkan tulang, cakera dan sendi tidak menekan saraf tetapi pesakit mengalami tanda-tanda sakit saraf. Dalam kes-kes seperti ini besar kemungkinan pesakit menghadapi masalah gangguan seperti gangguan saka, sihir atau kerasukan.
Rawatan moden
Dalam kebanyakan kes, slipped disc akhirnya akan mengecut kembali secara spontan.
Kesakitan biasanya akan berkurangan apabila cakera berhenti menekan pada saraf yang terjejas. Selalunya pihak hospital akan memberi ubat penahan sakit sebagai permulaan rawatan.
Selain itu, fisioterapi boleh membantu anda untuk mempercepatkan proses penyembuhan.
Fisioterapis akan melatih dan mengajar jenis-jenis senaman yang bersesuaian untuk anda lakukan. Sebaiknya senaman itu dilakukan setiap hari untuk keputusan yang lebih baik dan ianya boleh dilakukan di rumah juga.
Anda juga boleh berunding dengan pengamal osteopath, atau chiropractor untuk merawat keadaan ini. Kedua-dua kiropraktik dan osteopati menggunakan terapi manual, iaitu, manipulasi otot dan tulang melalui urutan dan teknik manual yang lain.
Pembedahan mungkin perlu jika rawatan lain tidak membuahkan hasil yang diharapkan, atau telah gagal untuk memperbaiki keadaan.
Rawatan penyakit slipped disc dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit slipped disc akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:
1. Surah Qaff ayat 16 hingga 45.
2. Surah Mukminun ayat 60 hingga 80.
3. Surah Shod ayat 34 hingga 61.
4. Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28.
5. Surah Adz-Dzariyaat ayat 31 hingga 60.
Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Qaff tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Mukminun tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.
Selain dari amalan ayat-ayat al-Quran, kami juga menggunakan teknik menekan di tempat-tempat tulang belakang yang bermasalah. Selalunya pesakit akan merasa sedikit tidak selesa bila tempat yang bermasalah itu disentuh oleh perawat kami.
Adalah lebih baik sekiranya pesakit dan keluarga datang untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat al-Quran yang lain yang boleh merawat gangguan tersebut.
Dalam sebuah hadis sahih daripada Safiyah r.a. dijelaskan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Sesungguhnya iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam menuruti pembuluh (saluran) darah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)."
Penutup
Dalam pengalaman kami merawat pesakit slipped disc, ada di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif dari fizikal dan spiritual. Dari segi fizikal ramai yang memakai tongkat atau dengan berkerusi roda bila kali pertama datang berubat dan dengan kuasa dan izinNya ramai yang boleh berjalan tanpa memakai tongkat atau berkerusi roda setelah beberapa kali mendapat rawatan. Ada yang cepat sembuh dan ada yang lambat. Terpulang kepada yang Maha Esa untuk menyembuhkanNya kerana sebagai manusia kita perlu berikhtiar. Walaupun ada yang masih rasa sakit, tapi jiwa lebih tenang dan redho.
Dari Jabir Bin Abdullah radhiallahu’ anhu, bahawa, “Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan seizin Allah ‘azza wa jalla." (HR. Muslim) InsyaAllah, dengan izin & kuasa Allah Yang Maha Penyayang, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu anda yang mempunyai masalah cakera slipped disc ini.

Tuesday, June 25, 2013

Kerasukan



Soalan :

Assalamualaikum Tuan Haji. Nama saya Tengku Azriamin berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan saya telah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak. Sejak 2 tahun yang lepas isteri saya yang bernama Nabilah selalu diserang kerasukan. Kerasukan itu membuat isteri saya tidak sedar dan kadang-kadang hilang kawalan fikiran dan emosi. Semasa kejadian itu, selalunya dia akan merasa seluruh badan sejuk dan sakit kepala yang teramat sangat. Fikiran dia bercelaru dan apabila dalam keadaan rasuk dia menjadi agresif dan bertutur dalam bahasa asing. Kadang-kadang bila dia sedar dia berada di lokasi lain dan dia tidak tahu bagaimana dia bolah sampai ke lokasi itu. Pernah satu ketika apabila dia sedar daripada kerasukan, dia telah berada di dalam kawasan perkuburan. Saya mohon penjelasan dari Tuan Haji berkenan penyakit isteri saya ini dan bolehkah ia diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

Jawapan : 

Dari aspek perubatan moden, hysteria atau kerasukan  adalah disebabkan oleh gangguan mental seseorang atau dipanggil "mental disability'' yang akhirnya membawa kepada halusinasi atau ''halusination''. Ianya pada awalnya disebabkan oleh gangguan pada emosi dan fikiran yang akhirnya menjejaskan fungsi otak secara sementara. Masalah stres dan kemuruangan (depression) juga dikatakan punca berlakunya histeria. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan diri yang melampau dan keadaan ini akan membuat pesakit akan menjerit, meracau dan ada juga yang boleh bertindak  ganas. 
Daripada perspektif perubatan islam, kerasukan dikaitkan dengan keadaan seseorang yang mengalami gangguan jin atau iblis. Menurut pengalaman pesakit yang pernah dirawat kerasukan, mereka ternampak pelbagai perkara yang menakutkan hinggalah mereka tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Ada juga yang mendakwa mereka berasa sejuk dan panas pada bahagian badan, fikiran bercelaru, hati menjadi tidak keruan yang akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri dan seterusnya dirasuk.
Jin dan iblis  boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan berbagai-bagai cara. Ini berpandukan kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Sayidah Safiyah binti Huyay, bahawa Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya Iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah.”  [Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Dari Hadis di atas jelaslah bahawa Jin dapat masuk kedalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan saluran darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia seperti arus eletrik mengalir dalam urat saraf sebagai kabel penyalurnya.  Selalunya Jin dan Iblis ini akan berdiam di dalam otak dan dicelah-celah urat saraf di tulang belakang tubuh manusia. Bila mereka berada di dalam otak manusia, mereka dapat menguasai pemikiran dan minda manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.Kerasukan adalah disebabkan kemasukan Jin di dalam tubuh manusia.
Jin dan Iblis boleh memasuki badan manusia samada di pinta sendiri oleh manusia atau tanpa di sedari oleh manusia itu sendiri. Disebabkan  kelalaian untuk  mengingati Allah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, ini akan memudahkan diri manusia itu  untuk di kuasai oleh Jin dan iblis

Jin mendampingi dan memasuki manusia melalui salah satu cara yang berikut :

  • Gangguan jin akibat perbuatan sihir. Di sini makhluk jin memasuki badan manusia bertujuan untuk menyakitkan tubuh fizikal dan mempengaruhi emosi dan mental seseorang. Ilmu-ilmu sihir banyak menggunakan jin sebagai medium perantaraan diantara pengamal-pengamal sihir dan mangsa yang kena sihir. Disini pengamal sihir akan mengarahkan jin-jin mereka untuk menganggu badan dan fikiran pesakit  bertujuan untuk menyakitkan atau membuat khianat kepada seseorang itu.
  • Gangguan jin disebabkan akibat kelemahan iman. Roh yang sakit atau  iman yang lemah adalah kerana sesaorang itu ingkar mengikut perintah Allah dan banyak melakukan dosa dan maksiat. Ini menyebabkan seseorang itu senang  di dampingi oleh makhluk-makhluk halus. Ketahanan diri terletak kepada kekuatan iman yang membentuk kekuatan roh. Kekuatan inilah yang menjadi benteng utama bagi pertahanan diri kepada gangguan jin dan iblis dalam kehidupan seharian.
  • Gangguan jin akibat amalan seseorang itu memuja jin-jin dengan sengaja atau pun tidak sengaja seperti dilakukan ketika membaca jampi, mentera dan serapah. Mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin, seperti amalan kebatinan mempertahankan diri, ilmu kebal, susuk, ilmu yang berkaitan dengan permainan teater tradisional atau berubat dengan pengamal perubatan yang pada hakikatnya berdampingan dengan jin atau iblis.
  • Gangguan jin terhadap pesakit terencat akal semenjak lahir. Anak-anak yang mengalami penyakit terencat akal kadangkala diganggu oleh makhluk halus. Ini disebabkan daya pertahanan mereka lemah kerana tidak kesempurnaan akal pemikiran mereka. Disini jin dan syaitan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai tubuh badan mereka.
  • Gangguan saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit. Saka bererti bahawa salah seorang daripada keturunan teratas pesakit seperti datuk, nenek, ibu atau bapa yang mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin atau bantuan-bantuan jin. Jin-jin ini akan berpindah kepada keterunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia. Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin-jin yang mendampingnya sebelum waris itu meninggal dunia.

Simptom-simptom kerasukan :

  • Sesak pernafasan
  • Tekanan darah akan naik tanpa sebab
  • Denyutan nadi lebih kencang dan debaran jantung yang luar biasa
  • Badan berpeluh, seluruh badan mengigil dan berasa sejuk, tangan menggeletar
  • Menjerit atau menjadi marah tanpa sebab atau sebaliknya merasa sedih dan sayu, kadang-kadang ketawa atau mengilai, perubahan “mood” yang ketara
  • Fikiran kusut, “jiwa kacau” , emosi berubah-ubah, tidak fokus
  • Sakit dibahagian tulang belakang, tengkuk dan sendi-sendi
  • Sakit kepala yang teramat sangat
  • Rasa mengantuk yang amat sangat dan menguap berulang kali
  • Kembung perut, sedawa dan muntah
  • Seluruh kaki dan tangan kejang 
  • Mengeluarkan perkataan yang luar biasa atau bertutur dalam bahasa asing (contoh yang pernah saya lihat pesakit bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi pesakit tidak pernah belajar bercakap bahasa Inggeris)
  • “Tone”suara yang berlainan  
  • Penglihatan pudar atau “tunnel vision” 
  • Tidak boleh mengawal pergerakan badan (tubuh pesakit berguling-guling tanpa kawal) 
  • Perubahan pada rupa wajah dan tubuh badan pesakit (contoh yang pernah saya melihat wanita muda bertukar raut wajah menjadi seorang tua dalam sekelip mata dan tubuh pesakit membongkok seperti nenek kebayan)

Pengalaman Merawat Kerasukan

Pada bulan April yang lalu ada sepasang suami isteri datang untuk membuat rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Suami mengadu emosi isterinya sering tidak menentu dan sikap isterinya mengamuk tidak tentu waktu. Pernah semasa keluar makan bersama di luar, sedang pasangan ini bergembira menikmati hidangan tiba-tiba isteri menampar muka suami tanpa sebab. Mereka juga mengalami kesukaran untuk bersama.
Apabila rawatan dilakukan pesakit mengamuk dan meracau dengan mengeluarkan kata-kata kotor mencarut , memburuk burukan suami, pesakit tersebut terpaksa di pegang oleh 3-4 orang ahli keluarga kerana keadaan pesakit yang agresif dan meronta-ronta . Pesakit juga menyebut beberapa nama yang didakwa melakukan sihir tersebut.
Pesakit ini juga pada mulanya membeliakkan biji matanya kemudian mengaum panjang seperti serigala mengaum, kemudian mengiau seperti bunyi kucing kemudian bercakap dalam pelbagai suara dan bahasa.
Setelah beberapa kali rawatan akhirnya dengan keizinan Allah swt pesakit itu beransur sembuh. Suami pesakit juga menceritakan apabila isteri beliau merasuk dan menyebutkan nama nama tertentu yang melakukan sihir tersebut perasaan marah timbul dan ingin berjumpa penama penama yang disebutkan isteri tetapi, atas nasihat  perawat meminta  supaya suami mohon Allah mengampunkan sesiapa yang mengkhianati isteri dan keluarganya. Akhirnya,  yang melakukan sihir itu datang kerumah pesakit memohon ampun dan maaf. Tetapi yang lebih mengejutkan yang melakukan sihir itu bukanlah penama-penama yang disebutkan isteri sewaktu merasuk.
Suami pesakit juga menceritakan pada awal rawatan beliau terpaksa bersabar dengan kerenah isterinya. Isterinya tidak mahu mengaji untuk mengamalkan surah amalan yang diberikan oleh perawat Al-Hidayah. Oleh itu, suami pesakit terpaksa membaca untuk isterinya. Masuk minggu yang kedua isterinya mula mahu mengamalkan amalan surah-surah yang diberi. Namum masalah baru pula muncul. Apabila membaca surah amalan itu, isteri beliau tiba-tiba kabur pandangan, sakit-sakit badan dan mengantuk yang melampau. Tanpa rasa putus asa suami pesakit terus membantu dan memberikan semangat kepada isteri supaya jangan cepat menyerah kalah kepada iblis. Akhirnya, atas kerjasama suami dan isteri serta keizinan Allah swt mereka berjaya menempuh dugaan tersebut.
Pernah saya berhadapan dengan seorang pesakit perempuan tua berumur tujuh puluhan. Apabila dirasuk, pesakit berbicara dalam bahasa Thai (Siam), Korea, Jawa dah Parsi purba dan kemudian bersilat ala Thai (tomoi). Iblis diberi kemampuan oleh Allah swt untuk bertutur dalam banyak bahasa dan bila pesakit dirasuk oleh Iblis, tidaklah mustahil pesakit itu boleh bertutur dalam bahasa yang diketahui oleh Iblis yang berada dalam tubuh pesakit.
Harus diingat bahawa pesakit yang dirasuk akan bercakap bermacam-macam antaranya menuduh ahli keluarga atau sehabat handai yang melakukan sihir khianat. Jangan mudah  mempercayai apa yang dikatakan oleh pesakit yang dirasuk kerana jin dan iblis akan cuba memecah belahkan hubungan silaturahim. Kita sering dengar sebuah hadis yang bermaksud “sejahat-jahat manusia, sebaik-baik jin”, jadi janganlah percaya akan percakapan yang keluar dari mulut pesakit yang dirasuk kerana itu semua datang dari tipu helah iblis.

Rawatan Kerasukan Jin

Untuk rawatan kerasukan, jin atau iblis yang ada didalam tubuh badan pesakit hendaklah dikeluarkan terlebih dahulu. Pesakit perlu datang berjumpa dengan perawat-perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mengeluarkan benda-benda halus ini. InsyAllah dengan keizinan Allah swt jin dan iblis dapat dikeluarkan. Kemudian pesakit perlu membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit kerasukan ini serta mohon doa kepada Allah swt untuk sembuh dari penyakit ini. 

Senarai Bacaan Ayat-Ayat Penawar Untuk Penyakit Gangguan Jin Dan Kerasukan 

  • Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186
  • Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159
  • Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255
  • Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118
Manusia yang selamat dari ganguaan Jin dan Iblis  adalah manusia yang selalu berada dalam Tauhid (mengesakan) Allah swt, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam.
Justru itu, peliharalah amal ibadah kita. Hanya dengan ketaqwaan kita kepada Allah swt sahaja yang dapat membenteng diri kita dari kejahatan dan tipu daya jin dan iblis. Sesungguhnya rahmat perlindungan Allah swt sentiasa bersama dengan orang-orang yang bertaqwa.
“Bertaqwalah (patuhlah) kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan” Al-Baqarah:194

Gastrik



Soalan:
ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji Lokman. Saya menghadapi masalah gastrik kronik. Perut saya sering merasa sakit, rasa loya di tekak, muntah-muntah dan berat badan menurun sebanyak 10 kg dalam masa dua bulan. Saya sudah banyak kali berulang-alik hospital untuk rawatan gastrik, tetapi belum reda. Bolehkah Haji Lokman memberi ayat-ayat Al-Quran untuk menyembuhkan atau membantu meringankan penyakit saya ini?

 Haji Iskandar, Kulai.

Jawapan:

Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut. Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut. Keradangan dinding perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus pelindung di permukaan perut.

Penyakit gastrik merupakan penyakit yang kian berleluasa. Alhamdulillah dengan izin Allah, penyakit gastrik boleh dirawat dan tidak seharusnya menyebabkan anda risau. Sebelum rawatan dimulakan, punca penyakit gastrik harus disiasat supaya kita dapat mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kehilangan lapisan mukus pelindung perut.

Punca gastrik

Gastrik selalunya disebabkan oleh mengambil ubat-ubatan yang tertentu secara berlebihan. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti ubat aspirin atau NSAID (non-steroidal anti-inflammatory). Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut boleh menyebabkan proses keradangan dinding perut. Gastrik turut boleh disebabkan oleh anaemia, refluks hempedu, penyalahgunaan dadah, meminum racun, stres ekstrem dan jangkitan virus tertentu.

Simptom gastrik

Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan kepada dinding perut dan seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan di dinding perut.
Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut, hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah.

Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah yang berwarna hitam atau muntah darah.
Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat mungkin.

Rawatan moden

Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus dilakukan terlebih dahulu.
Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan darah yang banyak atau anaemik.
Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk diagnosis yang tepat.
Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut.
Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada punca-punca sakit gastrik.
Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut.
Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.
Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.

Komplikasi

Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut berterusan.
Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut, asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.
Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di dinding perut.
Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia, pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.
Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap sangat serius.
Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tanda awal pendarahan dalaman tersebut.
Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh menyebabkan penyakit kanser perut.

Rawatan Al-quran

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit.
Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.
Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri manusia. Rasulullah saw bersabda: "…barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari).

Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada sebarang gangguan makhluk halus.
Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.

Ayat-ayat tersebut adalah:
 Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
 Surah Ghafir ayat 41 hingga 55

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.
Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; “Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.“

Penutup

Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom berbahaya.
Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan lanjut.
Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.
Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan penyakit gastrik.
Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.
Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang hina.

Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; “Mereka itu akan dibalas dengan 
tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya."

Monday, June 3, 2013

Perginya di rumah Allah



TIAP yang bernyawa pasti merasai mati. Tiap yang hidup pasti akan binasa, tiap permulaan pasti ada kesudahannya. Mati adalah lumrah kehidupan, jauh mana pun berlari, kita pasti menemui maut suatu hari nanti.

Soalnya, bagaimana kesudahan kita nanti? Adakah kita menemui ajal dengan kemalangan kereta? Sakit tua? Atau secara tiba-tiba? Begitu juga persoalan lain yang timbul, di mana penghujung hayat kita nanti?
Mungkinkah kita menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak-anak, di sisi isteri, terlantar di hospital atau di tempat kerja.
Bagaimana jika kematian semasa kita sedang melakukan ibadah dan ketika berada di tempat penuh barakah?

Ini topik yang saya akan bincangkan minggu ini. Topik yang ramai takut untuk dibincangkan sebab ramai takut kepada mati.

Tidak semua orang dipilih oleh Allah untuk meninggal dunia di tanah suci Mekah atau Madinah. Sesiapa yang dipilih mesti ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan Allah sangat sayang lantas dia ditakdir pergi menghadap Allah sewaktu di tanah suci.
Sepanjang pengalaman membawa pesakit mengerjakan ibadah umrah di Mekah, saya jarang berkesempatan menguruskan jenazah di sana.

Ada pesakit lagi 10 hari hendak berangkat ke umrah, dengan takdir Allah, pesakit meninggal dunia walaupun semua persiapan telah dibuat.
Ada pula pesakit bila tiba di tanah air, dengan takdir Allah, meninggal dunia walaupun pesakit sangat teringin meninggal dunia di sana. Ini semua qadak dan qadar, hanya Allah yang menentukan di mana kita menghembuskan nafas terakhir.

Memang menjadi impian ramai untuk meninggal di tanah suci. Kita memohon tapi Allah menentukan.
Saya baru pulang dari Mekah selepas menghabiskan masa dua minggu membawa 126 jemaah pesakit dan ahli keluarga mengerjakan ibadah umrah serta membuat rawatan di Madinah dan Mekah.
Ini adalah aktiviti tahunan Pusat Rawatan Islam Al Hidayah di mana kami dengan kerjasama syarikat pelancongan Wirasaujana memberi perkhidmatan mengerjakan umrah sambil berubat di Madinah dan Mekah.

Selalunya rawatan bermula di Madinah di mana pesakit akan dirawat oleh saya sendiri. Mereka akan diberi ayat Al Quran untuk diamalkan. Puncak rawatan ialah di Mekah dan pesakit dirawat di Dataran Kaabah dan mereka akan melakukan tawaf sunat bersama-sama saya.
Kemudian kami akan membawa pesakit ke depan Multazam untuk berdoa kepada Allah. Dari Multazam kami membawa mereka ke dalam Hijir Ismail di mana mereka melakukan solat sunat taubat dan solat sunat hajat.

Bagi pesakit berkerusi roda, petugas kami berusaha untuk memapah mereka masuk ke dalam Hijir Ismail. Selepas itu semua pesakit akan dibawa untuk melakukan solat sunat di belakang Maqam Ibrahim.
Apa yang memberi saya kepuasan dan kesyukuran kepada Allah ialah apabila saya melihat wajah pesakit selepas mereka habis melakukan ibadah, wajah kegembiraan dengan air mata kesyukuran kerana dapat berdoa di tempat mustajab di Masjidil Haram.
Bukanlah mudah untuk membawa dan mengiringi pesakit sebab keadaan di keliling Kaabah penuh sesak dengan jemaah lain. Apabila Allah menolong kita, perkara yang mustahil boleh dilakukan dengan mudah, InsyaAllah.
Kejadian yang berlaku kepada seorang pesakit jemaah wanita berumur 60 tahun berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Arwah menghidap kanser pankreas tahap 4.
Semasa rawatan di Madinah, saya catat dalam nota bahawa keadaan beliau kritikal dan ketika itu mengalami sesak nafas.

Bila tiba di Mekah, arwah bersemangat melakukan ibadah umrah. Arwah diusung dengan kerusi roda melakukan tawaf dan saie. Arwah ditemani dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selesai lakukan saie, arwah diusung pulang ke hotel kediaman.
Ketika itu arwah mengadu sesak nafas serius. Pihak Wirasaujana memanggil ambulans dan arwah dibawa ke hospital jam 2 pagi.

Esoknya jam 11.50 malam, arwah menghembuskan nafas terakhir disaksikan anak perempuannya. Saya dengan anak lelakinya dan petugas Wirasaujana bergegas ke hospital. Tiada apa yang boleh dilakukan.
Esoknya kami ke pejabat muassasah untuk mengambil pasport arwah dan Kedutaan Malaysia di Jeddah untuk melaporkan kematian. Setelah mendapat semua dokumen, kami pulang ke pejabat muassasah di Mekah bagi mengambil jenazah dari hospital. Di Mekah telah disediakan sebuah tempat khas untuk pengurusan jenazah.
Saya, anak lelaki arwah dan petugas Wirasaujana menunggu hampir dua jam untuk jenazah dikapankan. Sementara menanti, saya sempat bertanya anak lelaki arwah, apa istimewanya arwah sehingga Allah memilih beliau meninggal dunia di Mekah.
Dengan linangan air mata, anak lelakinya memberitahu arwah ibunya sangat murah hati dan suka menolong orang.
Arwah anak sulung, mempunyai ramai adik-beradik dan berkorban untuk membesarkan mereka.
Arwah sanggup memberi didikan kepada adik-adiknya walaupun arwah tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

Arwah banyak bersedekah dari segi wang ringgit, tenaga dan bantuan apa saja yang dia boleh berikan. Itu keistimewaannya, kata anak lelakinya dalam tangisan.
Setengah jam sebelum asar, jenazah telah dikapan dan kami menaiki van jenazah untuk solat jenazah di Masjidil Haram.
Tiba di perkarangan masjid, empat petugas Pusat Rawatan Islam Al Hidayah sedia menanti membantu mengusung jenazah ke masjid.
Memang tradisi Arab berebut-rebut membantu mengusung jenazah. Saya terpegun melihat kesungguhan bangsa Arab dan jemaah umrah lain berebut berganti-ganti mengusung mayat.
Tidak lebih tiga minit jenazah telah diusung dari van jenazah ke tempat meletak jenazah di dalam Masjidil Haram, walaupun ketika itu jemaah di sekitar luar masjid penuh sesak dengan jemaah bersiap sedia untuk solat asar.

Jenazah diletakkan di dalam masjid bertentangan dengan sudut Hajar Aswad. Dalam masa beberapa minit ada 10 jenazah diusung masuk untuk disolatkan. Selepas solat asar, imam masuk ke tempat jenazah dan mengimamkan solat jenazah.
Alangkah beruntung mereka yang meninggal dunia dan jenazah disolatkan di sana. Beratus ribu jemaah di masjid turut mengaminkan solat jenazah.
Sabda Rasulullah s.a.w: Dari Abdullah bin Abbas, katanya; aku ada mendengar Rasulullah s.a.w, bersabda “mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya".
(Riwayat Muslim)

Selesai saja solat jenazah, mayat diusung keluar masjid, puluhan jemaah berebut-rebut mengusung jenazah masuk ke van. Kedengaran jemaah memberi arahan Tariq! Tariq! (bermakna beri laluan!).
Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Seraya berdekatan Arafah. Saya dan anak-anak arwah serta petugas Al Hidayah dan Wirasaujana mengiring jenazah.
Sampai di sana, petugas di situ menunggu kami. Lubang kubur telah siap digali dan jenazah terus diusung oleh petugas Al Hidayah dan anak-anak arwah.
Pengkebumian dilakukan begitu cepat dan efisien, dalam masa 10 minit jenazah selamat dikebumikan. Tiada talkin, doa atau tahlil dilakukan, tiada taburan bunga atau merenjis air dilakukan. Batu nisan hanya sebiji batu empat segi tanpa nama si mati.

Islam agama mudah, kita tidak perlu merumitkan sesuatu hingga merosakkan keindahan Islam.
Bukan tidak boleh menguruskan jenazah sepertimana diuruskan ditempat kita, namun kita harus ingat perbezaan antara syariat dan adat.
Jangan sampai adat mendahului syariat. Apa yang dituntut oleh Islam adalah menyegerakan pengkebumian jenazah. Seperti sabda Rasulullah s.a.w:
“Dari Abu Hurairah (r.a) berkata: 'Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Mempercepatkanlah kamu dengan urusan jenazah, maka sesungguhnya jika ada si mati adalah orang yang baik-baik maka mendekatkan kamu pada tempat yang lebih baik; dan jika ada si mati itu adalah orang yang tidak baik, maka meletakkan kamu pada keburukannya dari bahu kamu (yakni, dari ditanggung oleh kamu)."[Hadith Muslim]

Kesimpulannya, pengalaman mengendalikan kematian di bumi Mekah adalah pengalaman pertama saya setelah puluhan tahun di dalam bidang perubatan Islam.
Ini suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli dan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Pasti pengalaman ini menjadi guru berguna kepada saya dan disajikan kepada pembaca sebagai penghayatan bersama.

Saturday, May 11, 2013

Kemurungan

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130505/kn_03/Kemurungan

Soalan:
ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman. Anak saya mengalami kemurungan teruk sejak tiga bulan lepas, dia tidak mahu solat, tidak keluar rumah dan selalu marah. Dia tidak mahu jumpa doktor atau ustaz yang kami bawa untuk berubat. Bolehkah tuan haji membantu anak saya? Terima kasih. - Encik Syahid, Johor Bahru

Jawapan:

Kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah sering bertemu pesakit kemurungan klinikal atau ‘clinical depression. Ada pesakit murung bertahun lamanya dan ada yang baru mendapat tahu perasaan sedih dialami bukan perasaan sedih biasa.

Terdapat pelbagai punca kemurungan, antaranya faktor luaran yang sangat besar seperti kematian suami atau ahli keluarga tersayang sehingga perkara yang mungkin remeh pada orang lain seperti gagal mendapat semua A dalam peperiksaan.

Saya pernah berjumpa pesakit murung selepas melahirkan anak sehingga si ibu tidak mahu melihat bayinya kerana merasa tidak mampu menjadi ibu terbaik.
Kita harus tahu membezakan kemurungan klinikal dengan perasaan sedih biasa. Perasaan sedih berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan klinikal tetapi bersedih atau murung disebabkan sesuatu tidak semestinya kemurungan klinikal.

Perasaan sedih adalah normal bagi semua orang. Cuma, kita harus mengawal perasaan tersebut daripada mengawal dan menjejaskan pemikiran serta kehidupan kita.
Anggaplah perkara yang menyedihkan merupakan ujian Allah, seperti firman-Nya di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3; “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Kemurungan tidak mengenal usia, jantina, bangsa, agama dan status sosioekonomi dan boleh menyerang sesiapa sahaja.
Menurut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006, daripada 14,000 peserta yang mengalami masalah kesihatan mental, didapati 20 peratus adalah kanak-kanak dan hanya 11 peratus dewasa.
Anggaran kasar Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati daripada 10 orang penduduk Malaysia, seorang mempunyai penyakit mental. Majoriti pesakit mental di Malaysia terdiri daripada kemurungan klinikal.

Dari segi pecahan jantina, penyakit kemurungan adalah ketiga tertinggi di kalangan wanita manakala bagi lelaki, kemurungan adalah kesepuluh tertinggi daripada semua jenis penyakit.
Penyakit kemurungan klinikal kerap berlaku di seluruh dunia dan menurut World Health Organization (WHO), jumlah pesakit kemurungan klinikal akan bertambah dari tahun ke tahun, tidak kira sama ada negara maju dan membangun seperti Malaysia.
WHO mendakwa penyakit mental lebih banyak menimpa manusia berbanding hipertensi dan kencing manis! Kemurungan juga punca utama kes bunuh diri seluruh dunia. Apa yang merisaukan WHO, jumlah kematian akibat bunuh diri jauh lebih tinggi daripada jumlah kematian akibat batuk kering (Tuberculosis) di rantau Asia Pasifik.

Punca kemurungan
Antara punca kemurungan:

1Masalah keluarga kronik menyebabkan ahli keluarga tertekan, tersisih dan kurang mendapat kasih sayang secukupnya.

2Masalah rumah tangga contohnya suami curang terhadap isteri atau penceraian.

3Faktor genetik atau keturunan di mana ada ahli keluarga mengalami masalah kesihatan mental.

4Kehilangan sesuatu atau seseorang yang sangat rapat dan disayangi hingga pesakit sentiasa teringat atau terbayang. Selalunya kehilangan terjadi tanpa disangka.

5Perubahan keadaan sekeliling yang drastik dan sangat berbeza dengan cara hidup dahulu, terutama perubahan berlaku tanpa sokongan ahli keluarga atau rakan rapat.

6Perasaan rendah diri keterlaluan hingga mereka tidak yakin untuk melakukan sesuatu.

7Masalah yang terlalu berat untuk dipikul dan diselesaikan boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke masalah kemurungan seperti bankrup atau muflis.

Aspek biologi

Kajian mendapati ada beza pada otak mereka yang disahkan mengalami kemurungan klinikal dengan mereka yang tidak. Perbezaan utama adalah saiz hippocampus, iaitu satu bahagian kecil otak manusia yang sangat penting untuk menyimpan memori.
Saiz hippocampus pada pesakit didapati lebih kecil berbanding mereka yang tidak pernah murung. 'Hippocampus' kecil bermakna kurang reseptor hormon serotonin - hormon yang diperlukan sebagai 'ubat penenang' semulajadi. K

Tanda kemurungan

Selalunya, tanda kemurungan disedari apabila masalahnya sudah lama dan menjejaskan kehidupan. Hampir semua pesakit mengalami masalah mood rendah hampir setiap masa.
Pesakit hilang minat atau tidak seronok melakukan hobi atau perkara digemari. Mereka lebih suka menyendiri tanpa melakukan apa-apa dan tidur sepanjang hari.
Ahli keluarga mendapati pesakit tidak mahu menguruskan diri, selalu cemas tanpa sebab (anxiety), tidak selesa di khalayak ramai, mudah marah, rasa bersalah tidak bertempat, gelisah dan tidak berupaya mengubah keadaan diri. Mereka mengalami penurunan (atau penambahan) berat badan, selalu sakit, selera makan meningkat (atau menurun) dan sentiasa penat.
Jika tidak mendapat bantuan, dikhuatiri pesakit mula mempunyai perasaan mencederakan diri atau lebih serius, mempunyai rancangan membunuh diri.

Rawatan moden

Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), rawatan sewajarnya membantu hampir 85 peratus pesakit kemurungan klinikal.
Setelah pesakit disahkan kemurungan klinikal, mereka diberi rawatan seperti kaunseling, terapi atau pengambilan ubat anti-kemurungan berterusan.
Selalunya pesakit bergantung kepada ubat anti-kemurungan sepanjang hayat. Malah, ramai pesakit memerlukan gabungan rawatan kaunseling, terapi dan ubat anti-kemurungan untuk hidup normal.
Rawatan tidak berkesan jika ahli keluarga dan sahabat tidak memberi sokongan. Ahli keluarga dan sahabat harus memantau keadaan pesakit bagi menunjukkan pesakit disayangi dan diperlukan.
Di dalam Al-Quran ada suruhan Allah untuk menyayangi insan lain. Firman Allah dalam surah Al-Qashash ayat 77; “Dan sayangilah manusia sebagaimana Allah sayang kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat bencana."
Rawat guna Al-Quran

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit kemurungan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat suci Al-Quran.
Firman Allah dalam surah Al-A’raaf ayat 204; “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat."
Pesakit yang mengamalkan pembacaan ayat Al-Quran secara konsisten setiap hari mendapati pemikiran dan perasan mereka lebih positif dan tenang. Dengan izin Allah ramai pesakit telah dikurangkan dos ubat dan ada yang tidak perlu mengambil ubat.

Selain itu, ada kemurungan disebabkan gangguan makhluk halus sama ada saka atau melalui sihir. Gangguan ini seringkali mempengaruhi pemikiran dan perasaan pesakit hingga mereka sangat tertekan, sedih dan merasakan diri tidak berguna dan menyusahkan orang lain.
Apabila pesakit terpengaruh dengan gangguan makhluk halus, berlaku kemurungan teruk dan perubahan personaliti. Setiap pesakit yang datang, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada gangguan makhluk halus.
Perawat akan mengeluarkan gangguan jika ada dan memberikan ayat untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

Surah Muhammad ayat 21 hingga 32
Surah Thahaa ayat 120 hingga 135
Surah Az Zumaar ayat 59 hingga 75
Surah An Nahli ayat 81 hingga 89

Kaedahnya, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan dengan surah seterusnya.
Pesakit harus ingat bahawa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.

Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
Kesimpulannya, jika rakan atau ahli keluarga menghadapi kemurungan, jangan pandang remeh. Jangan buat persepsi negatif.

Mereka yang merasa dirinya mungkin mengalami kemurungan, carilah bantuan dan ingat akan firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 139: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman"

Sunday, April 21, 2013

Air Penawar

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130421/kn_04/Air-boleh-mendengar

Air boleh 'mendengar'

Soalan
ASSALAMUALAIKUM. Boleh Tuan Haji terangkan mengapa perubatan Islam menggunakan air penawar atau air jampi? Boleh terangkan bagaimana dengan membaca ayat Al-Quran ke atas air dapat mengubati penyakit.Saya kurang faham bagaimana air penawar boleh menyembuhkan penyakit.

* Cik Marissa, Kuala Terengganu

Jawapan

Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia. Kepentingan air sama seperti oksigen.
Air adalah elemen penting demi kelangsungan hidup manusia, jika manusia tidak minum air selama seminggu, manusia boleh mengalami kegagalan serius organ dalaman dan menyebabkan kematian.
Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat menceritakan kepentingan air untuk manusia dan segala kehidupan di muka bumi. Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 30: "Dan Kami ciptakan dari air segala sesuatu yang hidup."

Air membentuk 55 hingga 57 peratus berat badan kita dan memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama tubuh. Pengambilan air dalam jumlah mencukupi amat penting untuk tubuh menjalankan fungsi dengan sempurna.
Air mustahak untuk melarutkan sisa metabolisma seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke ginjal. Oleh kerana itu, air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan daripada tubuh. Kekurangannya 'memaksa', ginjal bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkan ginjal rosak. Lebih 70 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Jika air di dalam tubuh bersih dan suci, sel tubuh lebih sihat dan kuat.

Pengambilan air bersih dan mencukupi boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel badan menjadi tidak normal dan tidak sihat.
Rahsia keindahan kristal molekul airDr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun mendedikasi hidupnya mengkaji perubahan bentuk kristal molekul air yang didedahkan kepada pengaruh positif dan negatif.

Beliau mendapati, apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan positif, air membentuk molekul kristal indah. Dalam satu eksperimen, air yang didedahkan kepada doa agama Shinto dibekukan, didapati mempunyai molekul bentuk kristal bersegi enam yang indah.
Eksperimen diulang dengan perkataan Arigato (terima kasih dalam bahasa Jepun) dibacakan di depan botol air.

Hasilnya, terbentuk kristal molekul sangat indah. Keputusan sama berlaku apabila air dihadapkan tulisan huruf Jepun, "Arigato". Dr. Masaru turut mendedahkan air kepada bacaan doa mengikut agama Islam. Hasilnya? kristal molekul air membentuk kristal indah segi enam lima cabang daun berkilau indah.
Beliau menggunakan air zam-zam dan mendapati ia terdiri daripada kristal molekul air bercabang dan berkilauan. Itulah kuasa Allah.

Eksperimen turut mendedahkan pengaruh negatif kepada air. Apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, didapati kristal molekul air tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur dan buruk. Ternyata, air boleh 'mendengar, membaca dan memahami' kata dan doa.
Dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit. Di Pusat Rawatan Islam al-Hidayah, air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit.

Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar. Teori Dr. Masaru Emoto mengenai perubahan kristal molekul air boleh menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran.Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya.

Rahsia air zam-zam Rahsia kehebatan air zam-zam terserlah apabila rahsia Kaabah disingkap. Di bawah empat penjuru (empat segi) bentuk Kaabah terkandung rahsia air bersifat alkali.
Air zam-zam, merakam segala niat jemaah secara gema gelombang, penyerahan harus diniatkan dengan baik seperti memohon keampunan, murah rezeki, penyembuhan penyakit, keinsafan dan sebagainya.
Setelah seseorang itu melakukan tawaf tujuh kali pusingan, di situ berlaku resonan (pusingan dengan geseran sesama manusia) memberikan kesan positif terhadap tubuh badan setiap Muslim yang melakukan ibadah tawaf. Jemaah akan terasa begitu hening, tenang dan lapang.

Segala doa dari para ribuan jemaah setiap hari yang mengelilingi Kaabah semasa melakukan ibadah tawaf dilakukan hampir 24 jam tanpa henti kecuali waktu solat fardu dan segala ibadah lain seperti solat dan membaca kitab Al Quran dirakamkan oleh molekul air zam-zam.
Ini membentuk keindahan dan pesona kristal molekul air zam-zam bila kita bandingkan dengan kristal molekul air lain. Air penawar dalam perubatan IslamPusat Rawatan Islam Al Hidayah menggunakan air sebagai satu elemen penting dalam perubatan Islam.
Allah menceritakan perihal penggunaan ayat sebagai ubat penawar manusia. Firman Allah dalam Surah al-Israa' ayat 82: "Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadaNya".
Dan dalam Surah Fussilat ayat 44: "Katakan, Al-Quran itu adalah petunjuk & penawar bagi orang yang beriman".

Pusat Rawatan Islam al-Hidayah menggunakan ayat suci al-Quran bagi mengubati penyakit rohani, jasmani dan akhlak. Ayat al-Quran dijadikan penyembuh dan dilengkapi amalan doa agar dapat mengubati penyakit dialami pesakit.Menyedari pelbagai jenis penyakit dihidapi manusia kadangkala pelik dan sukar disembuhkan, Pusat Rawatan Islam al-Hidayah membekalkan pesakit dengan rangkaian ayat al-Quran untuk diamalkan.Kami menggalakkan setiap pesakit meminum air penawar yang diberi setelah membaca rangkaian ayat suci al-Quran yang bertindak sebagai agen penyembuhan.

Sebelum minum, pesakit perlu membaca surah al-Fatihah dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak tiga kali, diikuti doa memohon kesembuhan. Sebaik-baik air penawar yang kami guna adalah air zam-zam. Kita semua ketahui bahawa 70 peratus tubuh manusia terdiri daripada air termasuk setiap sel dalam tubuh. Apabila pesakit membaca ayat al-Quran untuk penyembuhan, kuasa mukjizat ayat al-Quran akan mengubah setiap molekul dalam badan pesakit termasuk setiap sel.

Apabila air di dalam sel bertukar struktur molekul dengan pembacaan ayat al-Quran, dengan sendiri sel menjadi lebih sihat dan meningkatkan sistem ketahanan tubuh.Bila sistem ketahanan tubuh pesakit meningkat, ia membolehkan tubuh pesakit menentang segala kuman atau virus yang menjadi punca penyakit.
Konsep ini juga digunakan untuk melawan sel abnormal yang menjadi punca penyakit seperti kanser dan sebagainya. Percayalah apabila air dibacakan ayat al-Quran, ia menjadi sesuatu berbeza dan insyaAllah sebagai ubat. Kehebatan al-Quran terbukti sejak sekian lama.Terdapat hikmah, nur, penawar terlalu banyak dan hebat di dalam al-Quran. Terdapat banyak rahsia penawar di dalam al-Quran yang belum digali dan diteroka.Bahkan setiap huruf di dalam al-Quran ada penawar dan kelebihannya.

Wednesday, April 17, 2013

Sakit Jantung Koronari

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130407/kn_04/Sakit-jantung-koronari

Sakit jantung koronari

ASSALAMUALAIKUM. Saya Muhammad Khalid, 60, menghidap sakit jantung sejak tiga tahun lalu. Pihak hospital mengesahkan terdapat sekatan dalam saluran darah di jantung.
Menurut doktor, empat saluran darah tersumbat, salah satu sudah pecah dan tiga lagi tersumbat melebihi 60 peratus.

Pihak hospital mengatakan jantung saya berfungsi 20 peratus dan tidak boleh menjalani angioplasty atau stenting sebab faktor usia dan kerosakan intensif.
Masih adakah peluang saya sembuh dan dapatkah perubatan Al-Quran menyembuhkan saya? Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumsalam. Anda mungkin mengalami penyakit jantung koronari iaitu pembunuh nombor satu di dunia.
Allah menurunkan penyakit dan setiap penyakit yang diturunkan disertakan penawar kecuali mati.
Al-Quran adalah solusi penyembuhan terbaik sebagaimana firman Allah dalam Surah Yunus ayat 57 bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".

Gaya hidup sekarang dan pemakanan tidak seimbang menyebabkan ramai mendapat penyakit ini.
Sepanjang pengalaman saya mengubati pesakit jantung selama 13 tahun, ramai pesakit dengan izin Allah pulih di mana tahap sekatan dalam salur darah berjaya dikurangkan dengan mengamalkan ayat al-Quran yang dikenal pasti.

Pengenalan dan ciri umumPenyakit jantung koronari adalah hasil pembentukan plak dalam saluran darah atau arteri koronari, ini dipanggil aterosklerosis.
Ateroskelrosis menyebabkan saluran darah yang asalnya licin dan elastik, kerana pembentukan plak menjadi sempit dan aliran darah ke jantung tersekat.
Akibatnya, jantung kekurangan bekalan oksigen dan nutrien penting untuk mengepam darah dengan betul lalu meningkatkan risiko serangan jantung.

PuncaPenyakit jantung berlaku tanpa mengira bangsa, latar belakang pendidikan dan status sosioekonomi. Walaupun punca sebenar tidak diketahui, penyakit jantung koronari boleh bermula dengan kerosakan atau kecederaan pada lapisan dalaman arteri.
Kerosakan mungkin disebabkan oleh:

n Tekanan darah tinggi
Kolesterol tinggi, akibat makanan banyak kolesterol atau lemak tepu. Merokok dan sumber lain nikotin.
n Diabetes
Kerosakan pada dinding dalaman arteri menyebabkan darah beku dan lemak dalam darah melekat dan terkumpul pada darah beku menyebabkan aterosklerosis.
Dari pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, terdapat kes melibatkan gangguan makhluk halus terutama sihir. Seperti diterangkan dalam rencana sebelum ini, gangguan sihir berpunca daripada kehadiran jin dalam badan pesakit.
Kadang-kala gangguan ini menyebabkan pesakit sukar bernafas, badan berpeluh sejuk, cepat letih dan simptom seperti panic attack.

Tanda awal penyakit jantung koronariGejala paling biasa adalah angina atau sakit dada. Angina digambarkan seperti jantung dipijak, rasa berat, tekanan tinggi, pedih, kebas, perasaan seperti jantung diperah.
Gejala lain termasuk:
n Sesak nafas.
n Berdebar
n Lemah, lesu atau pening.
n Loya.
n Berpeluh.
Masalah jantung tersumbat paling
biasa dialami semasa:
n Senaman atau melakukan senaman.
n Makan.
n Stres atau tekanan.
n Pendedahan kepada sejuk.

Rawatan moden

Rawatan untuk penyakit jantung koronari kini melibatkan banyak aspek terutama perubahan gaya hidup, ubatan, diet sihat, prosedur invasif atau pembedahan dan berjumpa pakar kardiologi untuk pemeriksaan biasa.

Prosedur biasa untuk merawat penyakit arteri koronari termasuk belon angioplasti (PTCA), penempatan stent dan pembedahan pintasan arteri koronari.
Rawatan Penyakit Jantung Koronari guna ayat al-QuranKebanyakan penyakit menimpa manusia berkait rapat dengan makan dan minum. Nabi SAW sering mengingatkan umat Islam tentang bahaya perut.
Umat Islam tidak digalakkan makan berlebihan. "Makan dan minumlah dan jangan berlebihan" (Al-a'raf : 31)

Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: "jangan kamu matikan hati dengan banyak makan dan minum, kerana sesungguhnya hati itu seperti tanaman yang akan mati jika disiram terlalu banyak air".
Sabda Nabi SAW: "Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!"

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi tidak pernah menyebut 'hati', sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung.
Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Dalam masyarakat Melayu, qalb diterjemahkan sebagai hati, tetapi terjemahan sebenar adalah jantung.

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit jantung koronari diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut:
l Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55
l Surah An-Nahl ayat 81 hingga 89

Pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Isra' tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Nahl tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu pesakit perlu berdoa untuk penyembuhan.

Selepas membaca dua surah pertama, pesakit hendaklah mengulang dengan surah seterusnya.
Lebih baik pesakit berjumpa perawat Al-Hidayah supaya dapat kami memeriksa jika ada gangguan makhluk halus.

Ini kerana terdapat banyak kes, setelah ke hospital dan menjalani beberapa ujian tiada sekatan dalam saluran darah tetapi mengalami tanda angina.

Hasil pengalaman saya mengubati pesakit jantung Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55 adalah ayat sungguh istimewa dan berkesan. Ini adalah mukjizat al-Quran.
Yakinlah bahawa segala sesuatu berlaku dengan izin Allah. Insya-Allah, sakit akan sembuh dengan izin dan kuasa-Nya.